PERDANA MENTERI
HARI ini satu lagi sejarah pematuhan Perlembagaan negara tercatat. Balairung Seri Istana Negara menyaksikan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang, yang bernama Najib Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam.
Pemimpin yang memakai gelaran Datuk Seri itu mempunyai rekod istimewa. Peruntukan Perkara 2 Perlembagaan pernah diguna pakai untuk melantik bapanya sebagai Perdana Menteri kedua
Peristiwa itu berlangsung pada 22 September 1970 di Balairung Seri yang sama tetapi di hadapan Yang di-Pertuan Agong kelima iaitu Tunku Abdul Halim Muadzam Shah.
Ketika menerima pelantikan Tun Abdul Razak Hussein, baginda baru sehari bersemayam di singgahsana balairung itu. Tunku Abdul Halim dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1970.
Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika itu diberi mandat sebagai Perdana Menteri kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra yang meletakkan jawatan ekoran tekanan politik dalaman UMNO.
Sebelum itu, pada 13 Mei 1969 rusuhan kaum yang mencetuskan kegelisahan politik, sosial dan ekonomi rakyat pelbagai bangsa berlaku sehingga menggugat kestabilan negara.
Bermula dengan upacara angkat sumpah yang disaksikan rakyat seluruh pelosok negara, Tun Razak mengepalai kerajaan Malaysia untuk meneruskan agenda pembangunan negara untuk tempoh lima tahun sebelum meninggal dunia pada 14 Januari 1976 di London.
Legasi pemimpin hebat yang telah melonjakkan pembangunan luar bandar dan mengangkat nama
Nama Tun Razak yang tidak pernah lekang daripada bibir rakyat
Malah jasa dan khidmat bakti Perdana Menteri kedua itu diungkit dan disebarluaskan semestinya mahu menjadi peringatan awal kepada Perdana Menteri keenam agar tidak tersasar dari landasan Bapa Pembangunan
Semestinya rakyat
Peruntukan Perkara 2 Perlembagaan memperincikan perihal pelantikan Perdana Menteri sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Malaysia.
Semestinya bidang kuasa untuk melantik pemimpin terpenting itu terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Justeru mematuhi prosedur serta adat yang telah dijunjung sejak negara mencapai kemerdekaan hampir 52 tahun lalu, maka Perdana Menteri kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin merangkap Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk mempersembahkan hasrat meletakkan jawatan dan menamakan penggantinya iaitu Najib, semalam.
Kesinambungan daripada itu, maka hari ini Najib dengan disaksikan oleh pemimpin-pemimpin kanan, orang penting, para kenamaan dan duta-duta asing menyimpul janji dan memeterai sumpah untuk memikul beban tanggungjawab yang sesungguhnya amat berat.
Hakikatnya, percaturan politik yang paling penting di negara ini ialah kedudukan jawatan Perdana Menteri lantaran kekuasaan serta pengaruhnya terhadap kehidupan rakyat Malaysia begitu saling kait mengait.
Sesungguhnya Perdana Menteri merupakan jawatan yang mempunyai kuasa paling besar di negara ini. Tetapi sudah tentu kuasa ini akan menjadi sia-sia jika amanah yang diletak di atas jemala seorang pemimpin bernama Perdana Menteri dikhianati.
Di dalam genggaman Perdana Menteri ada kuasa untuk menentukan arah tuju negara - jika kiri haluannya maka ke situlah sasarannya, jika kanan acuannya maka terbentuklah sebuah negara yang kurniaannya melimpah kepada rakyat jelata.
Sementara Perkara 43(1) pula memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik suatu Jemaah Menteri iaitu Kabinet untuk menasihatkan Perdana Menteri dalam hal menjalankan tugas-tugasnya.
Semestinya juga pemilihan anggota Kabinet yang kuasanya ada pada Perdana Menteri tidak boleh dibuat sesedap rasa atau semata-mata mahu memenuhi permintaan, desakan atau sekadar memuaskan hati pihakpihak tertentu.
Ini sejajar dengan peruntukan 43(1) itu yang menetapkan bahawa Kabinet yang dibentuk itu bertujuan menasihatkan Perdana Menteri dalam segala hal. Justeru kuasa untuk memilih anggota Kabinet tidak boleh digunakan secara 'main-main' atau umpama 'beraja di hati bersultan di mata'.
Kesilapan membentangkan jemaah menteri untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong boleh mengundang padah kepada masa depan serta nasib sebuah negara yang bernama Malaysia.
Kabinet inilah yang akan membantu Perdana Menteri. Kabinet inilah yang akan menasihati, memujuk dan berbincang dengan Perdana Menteri. Kabinet inilah yang akan mengimbangi kuasa Perdana Menteri supaya tidak disalahgunakan atau bagi mengelak ia tersasar dari landasan sebenar.
Perkara 43(2) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri, yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat.
Dari segi praktikalnya, kepercayaan ini ditunjukkan melalui parti atau gabungan parti yang mempunyai majoriti anggota Dewan Rakyat.
Dan dalam pelantikan hari ini, ternyata Najib telah memenuhi kriteria seorang ahli Dewan Rakyat yang mewakili Parlimen Pekan. Soal kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat tidak boleh dipersoalkan. Majoriti ahli Parlimen memberi restu pelantikan Najib malah mengalu-alukan kepimpinan beliau berdasarkan kriteria yang dimilikinya.
Kemudiannya atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain daripada antara ahli-ahli mana-mana Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Di sinilah kecerdikan dan kebijaksanaan Perdana Menteri diuji. Malaysia sebagai negara majmuk menuntut pemilihan wakil-wakil pelbagai bangsa di dalam Kabinet. Pembahagian yang adil berdasarkan kuota serta keperluan semasa perlu dibuat.
Menteri-menteri yang mewakili UMNO, MCA, MIC dan parti-parti komponen di Sabah mesti diperhalusi. Langkah berhati-hati, keutamaan jati diri dan kesanggupan untuk berbakti mesti diutamakan.
Proses mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Tuanku Mizan hari ini juga meneruskan kepercayaan bahawa antara Perdana Menteri, barisan Kabinetnya dan rakyat jelata dengan institusi diraja ada aliran yang tidak akan terputus.
Sebagai Ketua Eksekutif kerajaan, Perdana Menteri bertanggungjawab penuh kepada Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal. Begitu juga dengan anggota Kabinetnya - rakyat jelata mesti menumpahkan setia dan kasih kepada Perdana Menteri dan istana.
Setelah mencapai kemerdekaan selama hampir 52 tahun, istiadat pelantikan Perdana Menteri keenam ini mempunyai nilai dan sentimen tersendiri. Ketika mana institusi raja-raja Melayu menerima kritikan dan sumpahan yang bukan sedikit, ketika itu jugalah restunya diperlukan supaya seorang Perdana Menteri dapat melaksanakan mandatnya menguruskan sebuah negara dan berbakti kepada rakyat.
Ketika kesan krisis ekonomi 'menyakiti' pembangunan negara dan menjejaskan serba sedikit agenda rakyat, ketika itulah Najib memerlukan restu dan sokongan rakyat untuk menjayakan fungsinya.
Nama Najib kini di kedudukan terakhir selepas Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Peralihan kuasa yang tidak pernah menampakkan ranjaunya sepanjang hampir 52 tahun negara mencapai kemerdekaan mewarnai giliran pelantikan Najib.
Di sebalik haru-biru yang cuba dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, tata cara Perlembagaan negara masih disanjung dan dihormati.
Lantaran, itulah panduan hidup kita sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan.
Senarai Perdana Menteri
1. Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
Bapa Kemerdekaan
1957–1970
2. Tun Abdul Razak bin Haji Dato' Hussein
Bapa Pembangunan
1970–1976
3. Tun Hussein bin Dato' Onn
Bapa Perpaduan
1976–1981
4. Tun Dr. Mahathir Mohamad
Bapa Pemodenan
1981–2003
5. Tun Abdullah Ahmad Badawi
Bapa Pembangunan Modal Insan
2003–2009
6. Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak
2009–kini
Sumber: Rencana Utusan Malaysia 3 April 2009
Mula | ||