KEJAYAAN BERMULA DENGAN MENETAPKAN MATLAMAT

Tahun 2009 sudah bermula. Biasanya, pada awal tahun, orang ramai sibuk bercerita tentang azam baru. Mereka sibuk bercerita tentang apa yang mereka mahu capai dalam tahun baru ini dan apa perubahan yang mahu mereka lakukan.

Tetapi, tidak ramai pula yang bercerita tentang azam mereka tahun lalu. Adakah azam mereka tahun lalu telah tercapai? Jika mereka ada 10 azam yang ingin dicapai tahun lalu, berapa banyakkah yang telah tercapai?

Cerita saya hari ini ada kena mengena dengan azam. Cuma ada sedikit perbezaan. Selama ini saya lihat orang ramai kaitkan azam dengan sesuatu yang perlu dilakukan pada awal tahun. Kemudian, azam itu akan dilupakan. Malah, ia jarang diusahakan. Jadi, saya tidak akan gunakan perkataan azam itu. Saya akan gantikan perkataan azam itu dengan perkataan matlamat.

Apa maksud matlamat?

Matlamat secara ringkasnya bermaksud sesuatu yang ingin anda capai. Selalunya, ia akan melibatkan penggunaan masa dan usaha yang bersungguh-sungguh. Sebenarnya, anda menggunakan matlamat setiap hari. Contohnya, anda ingin pergi ke kedai untuk membeli gula. Jadi, gula itu adalah matlamat anda pergi ke kedai. Anda hendak pergi ke padang untuk bermain bola. Jadi bermain bola adalah matlamat anda pergi ke padang. Senang bukan?

Contoh di atas itu adalah contoh matlamat yang mudah. Anda tidak perlu berfikir panjang untuk menetapkan matlamat tersebut. Anda juga tidak perlu bersusah payah untuk mencapai matlamat anda. Jika matlamat anda adalah membeli gula di kedai, anda cuma perlu pergi ke kedai, beli gula dan pulang ke rumah. Mudah sahaja matlamat itu terlaksana.

Bagaimana jika anda ubah sedikit matlamat anda di atas. Katakan, anda ingin pergi ke kedai, beli gula dan pulang ke rumah dalam masa 10 minit. Selalunya anda perlu mengambil masa selama 20 minit. Tentu matlamat ini akan jadi lebih mencabar bukan? Apa yang perlu anda lakukan untuk mencapai matlamat baru ini?

Jelas sekali, anda tentu perlu fikirkan berapa lama masa yang anda boleh jimatkan dalam perjalanan. Kalau selama ini anda berjalan, perlukah anda berlari? Anda juga perlu fikirkan tentang menjimatkan masa semasa membeli gula itu. Kalau selama ini anda suka meronda-ronda, berjalan-jalan dan membuang masa memerhatikan barang-barang yang anda tidak perlukan, perlukah anda hentikan semua itu dan terus dapatkan gula apabila anda sampai?

Semua persoalan baru yang timbul ini adalah disebabkan anda mempunyai matlamat yang lebih jelas dan lebih menarik. Matlamat ini semua memerlukan anda untuk berfikir dengan lebih kreatif. Anda juga perlu bersedia untuk membuat perubahan dan sanggup berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh.

Apakah faedahnya semua ini?

Mudah sahaja. Jika anda pulang 10 minit lebih awal dari kedai, mungkin anda dapat menonton cerita kegemaran anda di television. Anda juga mungkin mempunyai banyak masa untuk buat kerja-kerja lain. Semua faedah ini akan ditentukan oleh anda sendiri. Anda boleh memilih faedah apa yang anda inginkan daripada matlamat anda nanti.

Sumber: http://www.osmanaffan.com/matlamat.html




Mula