PADA musim cuti persekolahan, lazimnya kita akan mengambil peluang untuk bercuti dan melawat tempat yang agak jauh.
Sama ada berkenderaan sendiri atau menggunakan kenderaan awam, satu benda yang patut dibawa bersama adalah buku.
Perjalanan yang jauh atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas memberikan kita ruang masa untuk membaca sama ada untuk diri sendiri atau untuk anak-anak.
Membaca buku ketika dalam kenderaan akan mempamerkan contoh baik kepada anak-anak mengenai tabiat mengisi masa dengan cara yang berfaedah.
Galakkan mereka membaca dengan membawa bersama buku atau majalah yang diletakkan dalam kenderaan pada tempat yang mudah dicapai.
Elok diletak pada poket di belakang kerusi hadapan atau di bahagian atas kerusi belakang dan bukan dalam beg atau tempat letak barang yang sukar diambil.
Selain membaca anda dapat melatih kemahiran anak-anak membaca melalui permainan perkataan seperti silang kata yang mengasah minda.
Bagi anak-anak yang sudah pandai membaca, anda boleh melakukan kuiz bagi menguji kefahamannya mengenai apa yang sudah dibaca.
Gunakan ruang masa sebaik mungkin terutama buat anda yang pada hari kebiasaannya sibuk di tempat kerja dan mempunyai ruang masa terhad untuk membaca bersama anak-anak.
Ini peluang anda untuk mendidik dan menggalakkan mereka membaca. Teknik Jepun dikenali sebagai shichida antara kaedah yang baik dicuba kerana keberkesanannya.
Ketika anak hendak tidur atau tidur-tidur ayam, cakap dengan dirinya sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayangkan dirinya dan nyatakan sifat dirinya yang positif.
Ini kerana ketika tidur-tidur ayam ini, otak kanan sedang bekerja manakala otak kiri sudah tidur, tetapi ia perlu dilakukan seikhlas hati.
Ketika itu, ramas jari atau tangan anak supaya dia kembali berada dalam keadaan tidur ayam. Bahkan Islam sendiri menggalakkan ibu bapa bercakap atau berdoa dengan anak-anak ketika dalam proses anak-anak hendak tidur.
Guna kad untuk mengajar anak yang dilakukan secara cepat. Ini kerana apabila ditunjuk kad secara laju atau cepat, otak kanan bekerja keras untuk menangkap perkara yang ditunjukkan.
Gerak kerja tangan adalah hasil daripada otak kanan. Oleh itu, anak-anak yang bermain tanah liat, melukis, menggunting kertas dan origami sebenarnya mengaktifkan penggunaan otak kanan.
Cara itu menjadi amalan bangsa Cina dan Jepun sehingga menjadi bangsa yang bijak pandai dalam meneroka serta mencetuskan teknologi dan pemikiran baru.
Jangan marah atau tengking anak kerana mereka ini boleh menyimpan semua kemarahan yang dilontarkan dalam otak kiri. Untuk itu, sekiranya anda terlalu marah pada anak-anak, meminta maaf daripadanya.
Jika ingin meningkatkan daya imaginasi yang tinggi, lakukan perkara seperti bercerita dengan anak-anak dan buat-buat lupa mengenai cerita itu lalu meminta mereka sendiri menyambung dan bercerita kepada anda.
Menerusi cara itu, anda akan dapat melihat sejauh mana kematangan mereka walaupun ceritanya agak merapu.
Main teka-teki bersama anak-anak dengan mengambil barangan dalam kotak tisu dan meneka isi kandungannya.
Gambaran yang boleh anda berikan seperti warna dan bunyi yang boleh diteka, sekadar mengaktifkan otak kanan mereka.
Tukar larangan atau perkataan ‘jangan bising’ kepada perkataan lebih berhemah seperti ‘tolong senyap’ dalam usaha memotivasikan mereka.